| EPI Meterai Perjanjian Usahasama dengan KUMB SEREMBAN, 18 April (Bernama) -- Syarikat milik penuh Bumiputera yang bergiat cergas dalam pelbagai projek pertanian di dalam dan luar negara, Eastana Farm Industries Sdn Bhd (EFI), memeterai perjanjian usaha sama dengan Koperasi Usahawan Malaysia Bhd (KUMB) untuk membangunkan sektor penternakan dan industri asas ternak bagi memenuhi permintaan pasaran. Perjanjian usaha sama projek pertanian itu yang dimeterai di Kuala Lumpur, baru-baru ini akan membolehkan KUMB dan EFI berkongsi kepakaran teknologi dan jaringan dagangan bagi memperkembangkan perniagaan dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai perniagaan lumayan. EFI mengusahakan projek penternakan, pemasaran dan pemprosesan hasil ternakan, khususnya lembu serta mengendalikan kedai runcit daging segar berkonsep butik dengan jenama "Daging Segar" melalui anak syarikatnya, Farm Fresh Industries Sdn Bhd di Seremban. Ketua Pegawai Eksekutif EFI Syed Shareezally Syed Aualadali berkata usaha sama itu mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak kerana KUMB mempunyai jaringan dagangan luas, sekali gus dapat membantu EFI menembusi pasaran lebih besar. "Kami pula akan menyalurkan segala kepakaran, rangkaian perniagaan dan teknologi untuk menjayakan hasrat KUMB dalam misinya membangunkan lebih ramai usahawan dalam bidang penternakan, pemprosesan daging serta hasil ternakan," katanya kepada pemberita di sini hari Jumaat. Katanya antara inisiatif melalui usaha sama itu ialah mewujudkan program kerjasama pintar bagi menyokong sasaran penubuhan lebih 50 kedai butik Daging Segar di seluruh negara pada tahun ini dengan keutamaan penyertaan kepada ahli koperasi berkenaan. Katanya KUMB dan EFI juga akan melancarkan Program Usahawan Ternakan (PUT) dan Sistem Perladangan Kontrak Ternakan Fidlot yang membabitkan pelantikan pengusaha terpilih untuk menternak lembu secara sistem pawah. "Langkah ini bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi terhadap daging lembu, sedangkan bekalan sedia ada jauh daripada mencukupi. Lembu yang diternak melalui sistem ini juga untuk bekalan kepada rangkaian outlet Butik Daging Segar yang disasarkan dibuka dengan anggaran keperluan pada purata 5,000 ekor setiap bulan," katanya. Syed Shareezally berkata gabungan KUMB bersama EFI dan Farm Fresh Industries adalah usaha sama strategik bagi menampung keperluan daging mentah negara dan mengurangkan kebergantungan kepada daging import yang mencecah nilai berbilion ringgit setiap tahun. Katanya potensi industri penternakan lembu amat tinggi kerana bekalan daging sedia ada tidak mampu menampung permintaan, menyebabkan syarikat berkenaan turut mengusahakan sistem perladangan kontrak di beberapa negara luar. "Bagi membantu hasrat kerajaan meningkatkan pengeluaran bekalan, kami melaksanakan sistem perladangan kontrak dengan urus niaga setakat ini membabitkan hampir 10,000 ekor lembu yang diternak secara pawah dan ditempatkan di ladang kontrak di dalam dan luar negara," katanya. -- BERNAMA |
Isnin, 16 Jun 2008
Berita Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan