Isnin, 16 Jun 2008

Produk Daging Segar


‘Daging segar’ produk yang mengutamakan kebersihan

SEREMBAN 19 Mac – Sebuah syarikat milik penuh bumiputera, Farm Fresh Industries (Farm Fresh) yang terlibat dalam pengedaran daging segar memperkenalkan konsep kedai butik di bawah jenama ‘Daging Segar’ bagi mempromosi produk daging itu ke seluruh negara.

Pengarahnya, A. Halim A. Rahman berkata, konsep rangkaian pemasaran itu akan dilaksanakan melalui kaedah perkongsian pintar yang diwujudkan syarikat berkenaan melalui Program Usahawan Ternakan (PUT).

‘‘Kaedah ini telah diperkenalkan sejak hujung tahun lalu dan menerima sambutan amat menggalakkan daripada usahawan ternakan. Kita bercadang untuk membuka 50 lagi rangkaian kedai runcit sebegini untuk memasarkan daging segar di seluruh negara,” katanya di sini hari ini.

Menurut A. Halim, PUT merupakan inisiatif syarikat itu untuk membantu usahawan ternakan, terutama lembu dalam meningkatkan pendapatan mereka.

‘‘Hasil daripada sambutan yang memberangsangkan itu, syarikat sudah menetapkan sasaran untuk membuka lebih banyak cawangan butik Daging Segar di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak melalui konsep perkongsian pintar ini,” katanya.

Daging Segar merupakan jenama bagi rangkaian jualan daging mentah segar dan pelbagai produk berasaskan daging yang dilancarkan Farm Fresh melalui konsep moden, berhawa dingin dan bersih bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mementingkan keselesaan dan kebersihan.

Syarikat yang semakin berkembang itu turut melaksanakan sistem kontrak ladang di seluruh negara dan negara jiran untuk memenuhi permintaan terhadap bekalan daging segar dan pelbagai produk berasaskan daging dari dalam dan luar negara.

Melalui PUT, A. Halim berkata, syarikat berkenaan berjaya memasarkan lebih 2,000 ternakan dalam tempoh kira-kira dua bulan dengan membekalkannya kepada ladang kontrak di dalam dan luar negara dan menjangka jumlah itu akan meningkat sehingga 5,000 ekor menjelang pertengahan tahun ini.

‘‘Semua ternakan itu ditempatkan di ladang ternakan di dalam dan luar negara untuk diternak secara ladang kontrak. Kami yakin usaha ini akan dapat membantu negara mengurangkan penggantungan terhadap daging import, sekali gus mengelak aliran keluar wang ke negara luar yang mencecah berbilion ringgit,” katanya.

IKLAN@UTUSAN

Tiada ulasan: