Isnin, 16 Jun 2008

Berita Suruhanjaya Koperasi Malaysia


SEREMBAN 17 April - Syarikat Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. (EFI) memeterai satu perjanjian usaha sama dengan Koperasi Usahawan Melayu Berhad (KUMB) di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi meningkatkan hasil penternakan dan industri asas ternak di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif EFI, Syed Shareezally Syed Aualadali berkata, perjanjian usaha sama itu akan menguntungkan EFI dan KUMB kerana kedua-dua pihak boleh berkongsi kepakaran teknologi dan jaringan dagangan.

''Kedua-dua pihak optimis langkah ini akan membantu mengembangkan rangkaian perniagaan dan meluaskan pasaran produk EFI kerana KUMB memiliki jaringan dagangan yang besar.

''EFI pula akan memainkan peranan dengan menyumbang kepakaran, rangkaian perniagaan dan teknologi bagi menyokong misi KUMB untuk melahir dan membangun lebih ramai usahawan dalam bidang penternakan, pemprosesan daging serta hasil ternakan," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Ujar Syed Shareezally, EFI merupakan sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera yang sedang bergiat secara aktif dalam projek-projek pertanian dalam dan luar negara.

Jelasnya, EFI berkepakaran dalam mengusahakan projek penternakan, pemasaran dan pemprosesan hasil ternakan, terutamanya lembu dan telah bertapak di bandar ini melalui anak syarikatnya, Farm Fresh Industries.

''Di samping itu, EFI turut mengendalikan kedai runcit daging segar berkonsep butik dan memasarkan jenama 'Daging Segar' di bandar ini," kata beliau.

Tambah Syed Shareezally, melalui usaha sama ini, EFI dan KUMB melaksanakan program kerjasama pintar untuk mencapai sasaran penubuhan lebih 50 kedai butik Daging Sedar di seluruh negara tahun ini dan keutamaan akan diberikan kepada ahli-ahli KUMB.

Selain itu, kata beliau, EFI dan KUMB akan melancarkan Program Usahawan Terpilih dan Sistem Perladangan Kontrak Ternakan Fidlot di mana pengusaha-pengusaha yang terpilih akan menternak lembu melalui sistem pawah.

Jelas beliau, usaha itu juga bertujuan untuk menampung permintaan pasaran yang tinggi terhadap daging lembu sekali gus membekalkan keperluan kepada rangkaian butik Daging Segar dengan anggaran keperluan purata 5,000 ekor setiap bulan.

''Kita semua maklum permintaan terhadap daging lembu di pasaran melebihi daripada bekalan dan diharap inisiatif ini dapat menyeimbangkan suasana pasaran," tambah beliau.

Sehubungan itu, Syed Shareezally berharap usaha sama strategik EFI dan KUMB ini akan membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging import yang nilainya mencecah berbilion ringgit setiap tahun.

Tiada ulasan: